Sunday, March 13, 2011

7 - 20 March 2011 - Amsterdam, Paris, Rome, Pisa, Florence, Venice, Paris

Aku mula-mula dah plan dgn wife utk ke Paris, kemudian ke Italy dan balik semula melalui Paris. Tapi, kerana arahan tugas, aku kena ke Amsterdam kerana kerja 4 hari sebelum lawatan kami, so, aku kena fly dulu, buat kerja dan tunggu wife kat Paris. Tapi, aku rasa, it is blessing in disguise kerana aku dok memikir bila sampai ke Paris pada 8 am, apa nak buat sampai 12.20 pm. Tapi, since aku dah sampai awal, aku akan book hotel kat airport tu dan bila wife aku sampai, boleh le lepak2 jap sementara tunggu flight ke Rome.

Ini actually tulisan aku pada 8/1/2011:
Sejak sebulan lepas aku telah membuat perancangan untuk ‘backpacking’ selama 9 malam 7 hari di benua Eropah bersama isteriku. Di dalam artikel ini, aku akan menceritakan perkara-perkara yang telah dibuat dan akan dibuat sebelum perjalanan tersebut semasa cuti sekolah pada bulan Mac 2011.
Penerbangan tambang murah dari Malaysia ke Paris telah ditempah dengan harga RM3900 termasuk luggage dan makanan. Air Asia mendarat di sebuah lapangan terbang di selatan Paris bernama Orly. Dari situ, untuk tidak mengambil sebarang risiko, aku memberi masa 5 jam transit supaya kami mempunyai cukup masa untuk penerbangan ke Rom. Selepas melakukan penyelidikan menggunakan orbits.com dan flight search, aku menempah penerbangan murah Easyjet daripada website syarikat tersebut berharga Euro142. Bukan tidak mahu menggunakan website pihak ketiga, tapi lebih mudah jika berurusan terus dengan website syarikat penerbangan itu. Aku mengambil insuran untuk melindungi jika berlaku sebarang kelewatan. Easy jet membenarkan web check-in 60 hari sebelum tarikh penerbangan. Dasyat gila sebab Air Asia hanya membenarkan dalam masa 48jam. Berbalik kepada Air Asia, aku masih berbelah bahagi samada untuk membuat tempahan seat atau membiarkan nasib menentukan tempat duduk kami. Untuk penerbangan pergi, hot seat telah penuh. Tapi, untuk penerbangan balik, masih terdapat hot seat. Tempahan tempat duduk biasa adalah sebanyak RM50 manakala hot seat RM100 (kalau tak silap). (edit:pergi sure takyah book seat sebab wife aku gi sorang)
Penerbangan Easy Jet akan mendarat di Ciampino Airport yang terletak di Tenggara Rom. Aku masih kurang pasti samada untuk membuat tempahan shuttle dari Ciampino Airport ke Roma Termina (stesen keretapi utama di Rom) sebanyak Euro4 melalui internet (Euro6 jika dibeli di sana) atau menaiki bas Coltral (bas biasa) dari lapangan terbang ke stesen Metro Anagnina (stesen metro paling hujung untuk laluan A) sebanyak Euro1.20 seorang dan menaiki Metro dan terus turun ke stesen Republica yang terletak hanya 5 minit berjalan kaki ke hotel yang telah kami tempah. (edit: aku rasa aku akan naik bas dan metro terus ke Republica)
Peta Metro di Rom
Untuk pengangkutan awam di Rom, aku bercadangan untuk membeli Roma Pass iaitu pas pengangkutan awam (Metro & Bas je) dan membenarkan lawatan percuma untuk 2 muzium (salah satunya aku akan gunakan untuk Colleseum yang termasuk juga Roman Forum). Tapi, aku tak pasti samada bila kami menaiki Metro dari stesen Anagnina kami boleh gunakan Roma Pass sebab Roma Pass hanya sahlaku di Rom Central – aku rasa Anagnina dah terkeluar daripada Rom Central. Jika tidak, aku perlu membayar Euro1 untuk perjalanan ini. Daripada pembacaan aku, tiket setiap perjalanan Euro1 membenarkan untuk perjalanan selama 70 minit dengan bas atau metro daripada masa validate tiket. (edit: aku dah agak pasti RomaPass boleh digunakan dari Anagnina)
Hotel-hotel telah aku tempah melalui booking.com. Berdasarkan pengamatan aku, kadar booking.com adalah lebih murah berbanding website-website pihak ketiga yang lain. Kami akan menginap 2 hari di Rom, 1 hari di Pisa, 1 hari di Venice, dan 2 hari di Paris. Kesemua hotel-hotel ini membenarkan penukaran atau pembatalan sehingga 2 hari sebelum tarik penginapan kecuali hotel di Venice yang tidak membenarkan pembatalan. Harga hotel-hotel ini tidak lebih daripada Euro80 semalam dengan bilik air di dalam bilik untuk 2 orang. Kesemua hotel mempunyai sarapan pagi kecuali di Paris (ada, tapi kena bayar Euro6 seorang – baik makan sendiri jek). Aku pilih semua hotel berdekatan dengan stesen keretapi supaya senang untuk bergerak.
Sampai di hotel di Rom, aku rasa jam dah 5 petang. Masih sempat untuk keluar untuk keluar berjalan-jalan kerana anggaran aku, Maghrib akan masuk pukul 6.30 petang. Mungkin aku akan ke Spanish Step (Metro Spagna), Fontana de Trevi dan Piaza Navona. Aku masih belum betul-betul membuat perancangan lagi. Tapi, sebelum itu, mungkin aku perlu mencari peta bas yang lengkap supaya senang bergerak. Agak membosankan jika hanya menaiki Metro kerana tak nampak apa-apa (di bawah tanah) dan laluannya hanya ada dua, tidak seperti di Paris yang mempunyai banyak laluan.
Lakaran tempat-tempat menarik di Rom
Selepas sarapan pada hari kedua, kami akan ke Colleseum dan kawasan sekitarnya, Pantheon dan Piazza del Popolo. Pada hari ketiga, kami akan terus check out, letak beg di hotel, dan melawat Vatican City.
Aku telah menempah keretapi dari Rom ke Pisa dan mendapat kadar mini (diskaun lebih 60%) sebanyak Euro17 seorang pada pukul 6 petang. Melalui Zabihah.com, aku jumpa beberapa kedai makan halal berdekatan Roma Termini. Mungkin akan ke sana untuk makan berat (belum malam lagi) sebelum menaiki keretapi.
Sebelum terlupa, aku bercadang nak bawa travel cooker. Aku terjumpa travel cooker berjenama musafir (dual voltage) yang boleh dibeli di Kedai Makan Cina Muslim di Shah Alam – RM138. Kemungkinan aku akan bawa beras, ikan bilis, mentega, maggi, pek kuah, perencah nasi goreng, etc. Telor dan roti boleh dibeli di sana. Aku masih perlu selidik samada ayam dan daging berpek boleh dibawa atau tidak. Kemungkinan untuk lunch boleh pek sandwich dan hanya makan berat untuk dinner. Itu pun, kalau rajin memasak lah.
Sampai di Pisa, jam dah 8.30 malam. Aku bercadang nak kaji sampai pukul berapa bas beroperasi. Jika bas beroperasi sampai pukul 11 malam, kemungkinan sempat ke Pisa Tower. Berdasarkan pembacaan sebelum ini, Euro1 untuk perjalanan selama 70 minit.
Pada hari keempat, di Pisa, aku bercadang nak ke Pisa Tower dan kawasan sekitarnya sahaja. Berdasarkan blog-blog orang lain, souvenir di sini Euro5 untuk 2 biji fridge magnet. Sebelum check out pukul 12 tengah hari, mungkin kami kena prepare simple lunch untuk dimakan di dalam train. Kami akan menaiki keretapi tempatan ke Florence yang mengambil masa sejam perjalanan. Tiket keretapi ini aku belum beli, tapi aku rasa tiada masalah kerana ia merupakan keretapi tempatan dan tidak memerlukan tempahan. Harganya mungkin sekitar Euro10 seorang.
Sampai di Florence, aku bercadang untuk meletak beg di Florence Santa Maria Novella (singkatannya Florence SMN) – Euro4 per bag dan terus berjalan-jalan. Berdasarkan pembacaan, aku dah buat peta perjalanan yang bermula dan berakhir di Florence SMN. Jika kaki tak mampu untuk berjalan lagi, dari Piazza de Pitti, kami mungkin akan menaiki bas ke Florence SMN (Euro 1.20 untuk 70 minit perjalanan, tapi tiket kena beli awal-awal).
Keretapi dari Florence SMN ke Venice Santa Lucia (Singkatannya Venice SL) bertolak pada 7.30 pm. Aku ingat untuk dinner di Zam Zam Pizze & Kebab sebelum bertolak.
Kami dijangka sampai ke Venice pukul 9.33 malam. Hotel yang ditempah dikatakan terletak tidak jauh dari Venice SL. Tapi, bila aku google map, macam jauh pulak. Aku sebenarnya tak berapa nak percaya google map sebab dah 2 kali google map tipu aku. Aku kena cari map lain untuk confirm lokasi hotel ni. Tapi, berdasarkan arahan daripada hotel, pihak hotel suruh keluar di sebelah kira Venice SL dan hotel itu berada 200m dari stesen.
Pada hari kelima, selepas check out, aku bercadang untuk berjalan-jalan di sekitar Venice. Aku masih belum betul-betul merancang walking map untuk Venice, tapi yang pasti aku akan ke Rialto Bridge. Yang pasti, aku tak akan naik Gondolo (Euro80 per Gondola untuk 6 orang) atau ke Pulau berdekatan yang terkenal dengan pembuatan gelas secara tiupan.
Kami akan menaiki keretapi malam dari Venice ke Paris dengan tempat tidur. Aku dah membuat tempahan melalui trenitalia.com dan mendapat smart price, Euro45 seorang (diskaun hampir 60%) untuk coachet 4 orang. Ada juga coachet 6 orang berharga Euro35 seorang, tapi aku rasa lebih baik bayar lebih Euro10 untuk ruang yang luas (ruang yang sama, tapi bilangan orang kurang). Keretapi ini akan bertolak pukul 7.57 malam dan akan tiba di Paris Bercy pukul 9.30 pagi esoknya. Dengan Euro70, kami mendapat tempat tidur dan pengangkutan.
Sampai di Paris, untuk hari keenam, aku akan membeli Paris Visite untuk sehari sebanyak Euro8.80 seorang dan bercadang untuk terus ke Hotel yang berhampiran Gare De Nord dan mencuba nasib untuk check-in awal. Jika tak dapat pun, dapat letak beg pun jadilah. Selepas itu, aku bercadang nak pusing-pusing Paris tapi masih belum membuat sebarang perancangan. Yang pasti, mungkin tidak mendaki Effeil Tower atau masuk ke dalam Muzium de Louvre. Mungkin kami akan dinner di Restoran halal yang kami makan dulu berdekatan Metro Strassburg.
Untuk hari ketujuh, kami bercadang untuk ke Euro Disney. Berdasarkan website Disney, harga sehari untuk 2 park untuk 2 orang dan 1 park untuk 2 orang ialah masing-masih Euro114 dan Euro108. Baik aku ambik pilihan pertama. Harga train ke Disney (Metro Marne-La-Vallée-Chesst-DLP) ialah Euro6.70 seorang. Aku belum betul-betul membuat perancangan ride apa yang akan dinaiki di dalam park-park ini atau pukul berapa taman tema ini akan ditutup. Sapa boleh tolong?
Hari kelapan, kami akan pulang menaiki penerbangan pukul 10 pagi. Untuk itu, kami perlu tiba di Paris Orly selewat-lewatnya pada pukul 8 pagi. Aku rasa kami perlu bangun pada pukul 5 pagi, sarapan dan bertolak sesudah subuh (dalam pukul 6 pagi). Tiket metro ke Anthony station dan tiket OrlyVal (tren ke Orly Airport) perlu dibeli lebih awal. Berdasarkan pembacaan, harga tiket ialah Euro9.85 seorang (yang mahalnya tiket OrlyVal = Euro7.60 seorang).
Masih banyak lagi pembacaan perlu dilakukan dan perancangan perlu dibuat. Beg sandang pun masih belum dibeli.(edit: sudah dibeli - deuter 3 in 1)